sambung lagi...hai susah btol nak cari pasal TOKJANGGUT bnyak mengelirukan..so aku ambik yg paling boleh dipercayaai.....aku copy paste jeeeeee..........
Dahulu, lebih kurang tiga tahun yang lepas, saya pernah mencatit satu entri khas berkenaan Tok Janggut.
Apa yang asalnya diniatkan sebagai satu catitan kasual, sebagai menyempurnakan hajat seseorang, telah dengan tidak semena-menanya mendapat tumpuan ramai sehingga sendat dengan ratusan komen menyatakan minat. Dalam banyak banyak komen yang saya perhatikan, tidak kurang ada yang menarik, yang menyebabkan saya merenung kembali kisah perjuangan Tok Janggut, contohnya seperti komen ini :
Merenung kembali, memang benar sejarah kurang berlaku adil kepada Tok Janggut. Kisah perjuangan Tok Janggut, walaupun kini diabadikan dalam lembaran sejarah tanahair, disanjung dan diajar di sekolah, dirasakan seolah-olah masih atau sengaja dibiarkan tergantung. Tidak keterlaluan jika saya katakan, seolah-olah sama sebagaimana yang diperlakukan oleh Inggeris terhadap jasad Tok Janggut di Padang Bank.
Apa yang saya maksudkan dengan ” tergantung ” di sini adalah bila mana rata-rata sumber utama rujukan sejarah ( authorized sources ), dalam menghuraikan kronologi dan sebab musabbab kepada kebangkitan Tok Janggut, hanya mengutarakan faktor permasalahan cukai dan faktor kehilangan kuasa politik pembesar Melayu tradisional ( feudalisme ) sebagai punca.
Di sini, saya petik beberapa contoh dari huraian Arkib Negara Malaysia dan buku teks sejarah Tingkatan Lima sebagai bukti :
* Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 ( KBSM ), Dewan Bahasa & Pustaka, Cetakan Keempat 2006, Percetakan Watan Sdn Bhd ( Nota : Perenggan berkaitan di ” highlight ” bagi memudahkan rujukan. )
Sebenarnya, apa yang dinyatakan oleh sumber sumber di atas tidaklah bersalahan dengan apa yang benar benar telah berlaku. Cuma, secara peribadi, menyampaikan kisah Tok Janggut dalam konteks perjuangan membantah cukai dan kehilangan kuasa politik tradisional, bukan sahaja mengabaikan butiran penting lain dalam kronologi kejadian malah dirasakan mampu memberikan implikasi negatif kepada perkembangan minda generasi muda. Seolah-olah menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari kelompok yang kedekut dan taksub dengan feudalisme. Apakah sebenarnya yang ingin dibuktikan melalui huraian sedemikian ?
Sedar atau tidak, dengan pentafsiran sedemikian juga, kita telah berjaya menyempurnakan agenda penjajah Inggeris tanpa mereka sendiri perlu bersusah payah menyempurnakannya. Sejarah membuktikan bahawa penjajah Inggeris sememangnya mahu perjuangan Tok Janggut digambarkan sedemikian, kerana mudah bagi mereka melabel beliau sebagai penjenayah dan pengkhianat ( tidakkah kita selalu diajar, membantah arahan pihak berkuasa adalah satu jenayah ? ) …..
…. dan sejarah juga membuktikan bahawa dengan menonjolkan Tok Janggut sebagai seorang penjenayah dan pengkhianat, mereka telah berjaya mengalihkan perhatian orang Melayu Islam dari memikirkan isu global berkaitan umat Islam yang sedang hangat ketika itu !
Laporan berikut, yang dipetik dari akhbar The New York Times, bertarikh 15 November, 1914, menjelaskan usaha awal Inggeris untuk memastikan orang Melayu terus terserkup di bawah tempurung :
Menurut laporan di atas, pada 14 November 1914, Sultan Kelantan ( Sultan Muhammad IV, 1900 ~ 1920 ), telah mengeluarkan jaminan taat setia kerajaan Kelantan kepada Inggeris ekoran Perang Dunia Pertama di Eropah.
Inggeris pada masa itu, sedang berperang dengan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang bersekutu dengan Austria-Hungary dan Jerman. Inggeris telah menekan pihak istana untuk mengisytiharkan solidariti bersama – tindakan yang mengecewakan Tok Janggut lantas memilih untuk bangkit sendiri menentang Inggeris …..
Tetapi mengapa Kelantan ? Mengapa Turki Uthmaniyyah !?
Perlu diingatkan bahawa pada masa itu, kerajaan atau empayar Turki Uthmaniyyah dianggap oleh kebanyakan umat Islam di dunia, termasuk juga di Kelantan, sebagai pelindung serta pemimpin ummah. Kebetulan pula di Kelantan, hampir keseluruhan penduduk adalah beragama Islam bermazhab Shafie ( dinyatakan di situ, ” Shaffa Mohammedanism ” ) dan kuasa politik adalah di tangan pemerintah beragama Islam ( walaupun di bawah pengaruh Inggeris ).
Walaupun demikian, itu bukanlah perkara yang paling dirisaukan oleh Inggeris. Inggeris lebih gusar dan khuatir akan hakikat hubungan dan pergantungan Kelantan dengan Timur Tengah dari sudut ideologi dan politik, yang telah berlangsung sejak berkurun lamanya. Ramai rakyat Kelantan berulang alik ke Makkah untuk menuntut ilmu, menunaikan ibadat Haji dan tidak kurang juga ada yang memiliki kepentingan di sana. Tok Janggut berada dalam kelompok ini, seorang terpelajar yang pernah menuntut ilmu dari Pattani hingga ke Makkah.Kebetulan juga, Makkah ketika itu merupakan wilayah Turki Uthmaniyyah, yang pastinya sedang marak dengan propaganda anti-Inggeris ketika Inggeris sedang berperang dengan Turki. Inilah yang dirisaukan oleh Inggeris.
Walau bagaimana pun, dalam hal ini, menyedari hakikat masyarakat Melayu yang amat mentaati Raja, Inggeris telah mengambil jalan memaksa pihak Istana untuk menyatakan pendirian yang selari dengan mereka, dengan harapan, kemarahan masyarakat Islam Kelantan terhadap peranan Inggeris dalam Perang Dunia Pertama dapat dikekang.
Namun, malang bagi Inggeris, jaminan yang diberi hanya bertahan selama lima bulan sahaja dan ” kekacauan ” ( disturbance ) yang dirisaukan telah benar benar berlaku di Pasir Puteh pada April 1915, di bawah pimpinan Tok Janggut ( antara sebab mengapa Tok Janggut diisytiharkan Inggeris sebagai ” pemberontak “ dan ” pengkhianat “ ).
Apa yang menarik, perkara yang paling dirisaukan Inggeris di Kelantan sebenarnya telah terlebih dahulu berlaku di Singapura, kubu kuat Inggeris di Asia Tenggara. Pada Februari 1915, askar upahan Inggeris dari India yang beragama Islam telah bangkit memberontak. Peristiwa berdarah yang dikenali sebagai Dahagi Singapura 1915 atau The 1915 Singapore ( Sepoy ) Mutiny ini, telah menyebabkan lebih kurang 50 orang Eropah terkorban. Puncanya, tidak lain tidak bukan adalah kerana peperangan Inggeris dengan Turki Uthmaniyyah, ditambah pula dengan fatwa berjihad yang dikeluarkan oleh kerajaan Uthmaniyyah. Dikatakan Tok Janggut telah mengikuti perkembangan pemberontakan ini lalu merancang penentangan di Pasir Puteh.
Biar pun segera ditumpaskan, kejadian pemberontakan ini begitu memalukan Inggeris. Mengambil iktibar, Inggeris telah mengambil langkah berjaga jaga dan malang sekali, penentangan Tok Janggut menyusul dua bulan selepas itu dalam keadaan Inggeris sudah bersedia. Akibatnya, Tok Janggut telah diganyang sedasyat dasyatnya oleh Inggeris dan ini dapat disaksikan melalui bagaimana jenazahnya diperlakukan di Padang Bank.
Mengenangkan apa yang telah dilalui oleh Tok Janggut, adalah dirasakan amat tidak wajar jika kisah beliau terus dibaca dalam konteks sedia ada ( penekanan kepada permasalahan cukai & kehilangan kuasa feudal ). Perhatian perlu diberikan kepada konteks yang lebih global seperti yang dinyatakan di atas – sesuai dengan keadaan dunia masa kini serta hakikat diri dan latar belakang Tok Janggut sendiri.
Tok Janggut sebenarnya bukanlah seorang jaguh kampung yang buta huruf. Beliau adalah seorang yang terpelajar, yang pernah mengembara menuntut ilmu dari Pattani sehingga ke Makkah. Kerana itu, rangkaian serta jaringan maklumatnya cukup baik. Beliau jelas tahu apa yang sedang berlaku di dunia ketika itu, khususnya nasib yang menimpa Dunia Islam – kecelaruan dan perpecahan yang melanda umat Islam angkara masalah dalaman dan penjajahan asing. Beliau juga sedar bahawa simbol kekuatan politik umat Islam tika itu, Empayar Turki Uthmaniyyah, sedang diancam dan cuba dihapuskan oleh Inggeris melalui Perang Dunia Pertama.
Kerana itu juga, Tok Janggut adalah seorang yang berfikiran GLOKAL ( yakni, a person who thinks globally and acts locally ). Ini dapat dilihat melalui keprihatinan beliau terhadap nasib Dunia Islam yang dipadankan dengan suasana setempat, yang kemudiannya ditafsirkan melalui penentangan bersenjata pada tahun 1915.
Sayang sekali, hakikat ini selalu sahaja tenggelam, samar samar atau langsung gagal dinyatakan dalam huraian kontemporari sejarah Tok Janggut, hingga menampakkan perjuangan beliau sebagai bercorak parokial ( kekampungan ) yang hampir tidak membawa apa apa makna.
BACAAN BERKAITANNasron Sira Rahim, Berita Harian : ” Tok Janggut “
GAMBAR BERKAITAN
PADANG BANK, KOTA BHARU
* Poskad lama awal 1930an, yang memaparkan Monumen Perang Dunia Pertama dan Padang Bank di Kota Bharu. Imej ” dipinjam ” dari blog Northernmalaya. Turut kelihatan adalah bangunan Istana Jahar. Foto dirakam sekitar 1930an.
*dikatakan inilah mayat Tok Janggut. Ada yang mengatakan ini bukan mayat Tok Janggut tetapi adalah salah seorang pengikutnya yang terbunuh dalam peperangan bersama Tok Janggut, ada yang mengatakan British tersalah mengecam identiti Tok janggut. Bagaimanapun, ia tidak disokong oleh bukti yang kuat. Penulis asal percaya inilah jasad Tok Janggut.
*Setelah gugur syahid di Pasir Puteh, jasad Tok Janggut telah dibawa ke Kota Bharu dan digantung songsang di khalayak ramai, di Padang Bank. Sebagai tontonan dan pengajaran kepada rakyat Kelantan yang terfikir untuk menentang Inggeris.
* Monumen Perang Dunia Pertama dan Padang Bank pada masa sekarang. Foto dirakam awal Jun 2008.
*diskripsi dwibahasa mengenai Tok Janggut dan kisah hidupnya.
* Keadaan makam Tok Janggut pada masa sekarang di Pasir Pekan. Foto dirakam pada awal Jun 2008. Kawasan di mana jasad Tok Janggut dikebumikan bukanlah tanah perkuburan. Beliau ditanam bersendirian, jauh dari orang lain, di dalam sebuah liang lahad tanpa nisan(sehingga seseorang membuat keputusan untuk meletakkan sesuatu di kuburnya)
*Penduduk tempatan mahukan Tok Janggut dihormati.
* Tentera British bergambar. Tulisan di kaki mereka jelas menunjukkan Pasir Puteh 14-10-1915. Lebih kurang 5 bulan selepas pemberontakan yang mahsyur itu berlaku di tempat ini. Askar ini dihantar dari Singapore dan gambar ini membuktikan bahawa mereka masih berada di sana walaupun sudah berbulan berlalu sejak kematian Tok Janggut. Mungkin askar ini mahu berjaga-jaga dari pemberontakan yang mungkin berlaku oleh para pengikut Tok Janggut.
Sumber dari of Arkib Negara Malaysia ( National Archive ) search site.
*****Sebelum ini aku sendiri tidak sedar perjuangan sebenar Tok Janggut sehinggalah menemui artikel yang cukup detil bagi aku.Artikel diatas aku copy dari blog Iniceritakita.Wordpress.Com . Kebiasaanya maklumat yang diperolehi sekadar infor sahaha tidak lebih dari itu.Ramai lagi pejuang-pejuang sebenar negara kita yang wajib kita hargai seperti Mat Kilau , Mat Salleh , Rentap , Dato Bahaman , Dato Maharaja Lela , Dol Said , Tok Gajah , Haji Abdul Rahman , Antanom . U all semua boleh baca kisah tokoh-tokoh ini di lamanweb SemangatMerdeka.Net .
No comments:
Post a Comment